Thursday, January 13, 2011

Astro First, Kini Di Pawagam Dan Di Rumah Anda

 
KUALA LUMPUR, 12 JAN 2011: Jika ada yang pernah terfikir mahu menonton wayang atau filem terbaru di rumah, kini ianya akan menjadi kenyataan apabila stesen televisyen berbayar Astro bakal memperkenalkan sebuah lagi saluran baru iaitu Astro First yang menawarkan perkahidmatan tersebut.
Bermula dari 13 Januari 2011 ini, pelanggan Astro boleh menggunakan perkhidmatan tersebut dengan hanya perlu membayar RM15 bagi setiap judul filem yang ingin ditonton. Filem-filem ini mampu dinikmati selepas 2 minggu ianya dipawagam dalam tempoh 48 jam selepas pembelian.



Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, berkata, dengan cara baru ini, pihak Astro dapat membawa hiburan masa depan ke setiap kediaman rakyat Malaysia.
"Apa yang pasti, penonton kini boleh menikmati filem-filem terkini yang baru ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia di kediaman masing-masing mengikut keselesaan mereka.
"Apatah lagi, ia sangat menjimatkan bagi yang tinggal lebih daripada dua orang dalam 1 rumah. Malah ia juga dapat membantu para penerbit untuk memperluaskan pengedaran filem serta memanjangkan lagi tempoh menonton berbanding apa yang ditawarkan di pawagam," katanya dalam sidang media di pusat hiburan, Zouk, semalam.
Pun begitu, dia juga menegaskan bahawa cara baru menonton wayang di rumah menerusi saluran Astro 480 ini tidak akan membuatkan masyarakat berhenti daripada menonton wayang di pawagam.
"Saya tak rasa ia menjejaskan penjualan tiket di pawagam, lagipun ianya keluar lepas dua minggu ianya ditayangkan di pawagam. Selain itu, Astro First juga amat bersesuaian bagi individu yang berusia 40 tahun ke atas berbanding golongan remaja. Mereka pasti malas untuk beratur panjang membeli tiket atau menyaksikan sesebuah filem di pawagam dengan kapasiti penonton yang ramai," jelasnya lagi.
Menariknya, pada peringkat permulaan, perkhidmatan Astro First bakal menyiarkan tiga filem baru iaitu Aku Masih Dara, Damping Malam dan Ngangkung dengan bayaran sebanyak RM15 bagi setiap filem.
Malah selepas tiga filem tersebut, pelanggan Astro juga boleh menyaksikan filem-filem lain seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Kongsi, Kembar Siang, Tolong Awek Aku Pontianak, Senjakala, Sini Ada Hantu dan sebagainya pada bulan-bulan akan datang.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, kemunculan perkhidmatan Astro First secara tidak langsung membantu penerbit filem untuk membenteras masalah pembelian cetak rompak.
"Saya boleh ibaratkan cara ini seperti penjualan secara digital. Jadi secara tidak langsung ia dapat menyelamatkan filem-filem yang kurang mendapat sambutan di pawagam kerana filem yang disiarkan di Astro First turut diberikan promosi sebanyak yang mungkin menerusi saluran tersebut.
"Selain itu Astro First juga dapat membantu penerbit-penerbit filem kecil kerana sekurang-kurangnya mereka dapat meraih keuntungan menerusi saluran tersebut. Cara ini juga akan menyukarkan masyarakat untuk membeli DVD cetak rompak secara berleluasa," tegasnya.
 
Tiga langkah mudah untuk menikmati Astro First
Kunjungi media portal Astro First di Saluran Astro 480 dan;
1. Tekan butang biru di alat kawalan jauh Astro dan pilih filem kegemaran anda.2. Tekan butang biru sekali lagi untuk pengesahan.3. 13 digit kod SMS akan dipaparkan di televisyen. SMS BUY[13-digit code] ke 32999. Contoh: BUY 1234567891234
Anda akan menerima SMS pengesahan pembelian dan filem tersebut kini boleh ditonton dalam masa lebih kurang lima minit kemudian. Setiap pembelian akan dicajkan ke bil semasa pelanggan. Kadar caj telco akan dikenakan untuk setiap SMS. Untuk maklumat lanjut, layarilah www.astro.com.my/astrofirst

Post a Comment

Untuk pertanyaan.. Sila tinggalkan comment anda..